Hari Sabtu Shasha marah aku...mmmmmm
Hari Jumaat aku marah ngan hq yang asik nak 100 % pindaan ikut format dorang...org baru eksen cam dorang yang terer kerja...nyampahh
Minggu sebelumnya aku marah kerana katerer yg dilantik oleh Pengarah untuk majlis seminar tu sengal sangat!! Jamuan VIP dorang buat hampeh...cam tak reti nak buat kerja..
Aku nak muhassabah diri....rasa letih bila marah dan di marah ...
Dunia hari ini diwarnai dengan pergaduhan dan peperangan. Sama ada peperangan antara bangsa, negara, agama, etnik, suku kaum, bahkan berlaku juga peperangan antara anak-beranak dan kaum keluarga.
Kenapa semua ini berlaku? Jawapannya tidak lain, kerana manusia hari ini terlalu mengikut perasaan marah yang bermaharajalela dalam diri mereka. Perasaan marah yang sememangnya dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap manusia, sekiranya tidak dikawal bahkan dibiarkan menguasai diri, akan membawa kepada kebinasaan sama ada kepada individu yang sedang marah itu, atau kepada orang lain atau benda-benda lain yang ada di sekelilingnya.
Dari perspektif Islam, kita harus menerima bahawa marah adalah sifat semula jadi atau fitrah setiap manusia. Sewaktu Allah mencipta Nabi Adam a.s, para malaikat mengetahui bahawa dengan sifat marah yang dibekalkan itu, manusia akan berbuat kerosakan di muka bumi. Perkara ini termaktub di dalam al-Quran, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Sudah pastilah setiap kejadian Allah itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Di samping membekalkan sifat marah, Allah turut membekalkan beberapa mekanisme perlindungan supaya manusia dapat menahan diri atau melindungi diri daripada sifat marah yang membawa kepada kebinasaan.
Sifat marah membezakan manusia dengan binatang. Apabila seekor singa atau serigala menjadi marah, ia akan bertindak tanpa berfikir. Sebaliknya, manusia dibekalkan akal fikiran, maka manusia boleh memilih sama ada bertindak menggunakan akal fikiran atau bertindak membuta tuli sama seperti seekor binatang.
Kemarahan yang tidak dikawal, memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan harian seseorang itu. Ia memisahkan ibu dan anak, merenggangkan persahabatan, menjauhkan keadilan, membawa kepada kemurungan dan kekecewaan, membawa kepada kegilaan dan akhirnya membawa kepada penyesalan yang tidak terhingga.
Sekiranya kemarahan menguasai kelompok atau jumlah individu yang ramai, maka kemusnahan yang akan terjadi jauh lebih besar skalanya. Ia menyebabkan peperangan sehingga memusnahkan sebuah bandar, bahkan sebuah negara, bangsa dan sebuah tamadun.
Mengekang Kemarahan
Keinginan semula jadi yang dipenuhi, akan dapat mengelakkan rasa marah. Misalnya keinginan kepada makanan, minuman, tempat tinggal, kasih sayang, seks dan banyak lagi.
Dalam tubuh manusia, terdapat beberapa jenis hormon yang mempengaruhi mood atau perasaan seseorang itu. Kajian saintifik menunjukkan keadaan hypoglycemia dan hyperthyroidisme boleh membuatkan seseorang itu berasa marah. Bagi mengelakkan keadaan ini, maka seseorang itu hendaklah memastikan kadar hormon di dalam tubuhnya sentiasa seimbang dengan cara menjaga kesihatan tubuh badannya.
Nabi s.a.w. tidak pernah menunjukkan kemarahan baginda terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin. Bahkan, baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Bagaimanakah cara baginda mengawal kemarahan?
Suatu ketika seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda, lalu kata Nabi, “Janganlah kamu marah.” Sahabat yang lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Nabi: “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka kata Nabi, “Janganlah marah.”
Suatu ketika, baginda bertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu dengan banyaknya berperang, hanya sanya yang kuat itu orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”
Sebagai manusia biasa, Nabi juga berasa marah. Namun baginda tidak pernah menunjukkan kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa bagi mengawal rasa marahnya.
Kemarahan yang Wajar
Seseorang yang tidak mempunyai rasa marah terhadap penindasan, penderaan, ketidakadilan dan salah laku yang berlaku di hadapannya, hakikatnya adalah seorang yang tidak memiliki perasaan. Dengan membiarkan perkara-perkara negatif itu berlaku, maka kejahatan akan berleluasa di muka bumi. Sewajarnya, pada ketika inilah seseorang itu patut marah dengan cara menghentikan kejahatan itu dengan kaedah yang telah digariskan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasul-Nya.
Bersikap tidak endah terhadap kejahatan dan ketidakadilan, samalah hakikatnya seperti menyumbang ke arah itu.
Kesan Kepada Tubuh
Secara psikologi, apa yang berlaku kepada diri seseorang itu apabila dia marah? Kadar denyutan jantung dan tekanan darahnya akan meningkat. Ini adalah kesan langsung akibat lebihan hormon adrenalin dalam sistem peredaran darah. Kekuatan fizikal juga akan meningkat manakala kewarasan dan daya berfikir menurun.
Organ-organ badan yang berada dalam kawalan, akan hilang kawalan. Lidah akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan mengguris hati, tangan akan memukul, kaki akan menendang apa saja yang berada di kelilingnya, bahkan dia mungkin akan mencederakan dirinya sendiri.
Apabila rasa marah yang berpanjangan menguasai diri, rasa marah ini perlu diluahkan atau dihilangkan. Sekiranya perasaan ini dipendam, lebihan hormon adrenalin akan menjadi toksin dalam tubuh dan menjejaskan kesihatan untuk jangka masa panjang. Dia bukan saja akan menjadi seorang yang murung, kecewa, malah fikiran yang bercelaru yang boleh membawa kepada kegilaan. Tekanan darah yang tinggi dan kadar denyutan jantung yang laju akan membawa kepada serangan jantung dan penyakit fizikal yang lain.
Ubat Marah
Individu yang normal pasti akan mengalami perasaan marah apabila berhadapan dengan situasi yang memungkin perkara itu berlaku, dan kemarahan itu tidak boleh dielakkan. Perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan rasa marah adalah seperti berikut:
Sibukkan diri dengan mengingati Allah. Misalnya dengan berzikir dan berselawat. Firman Allah dalam sebuah hadis qudsi: “Wahai anak-anak Adam, apabila kamu marah, ingatlah kepada-Ku.”
Meminta nasihat daripada orang berpengalaman. Suatu kisah yang berlaku pada zaman Nabi, sepasang suami isteri yang sering bergaduh bertemu baginda untuk meminta nasihat. Lalu kata Nabi, “Apabila kamu berasa marah, maka hiruplah air dan biarkan air itu di dalam mulutmu sehingga kemarahanmu reda.”
Marah itu datangnya dari syaitan. Oleh itu, mintalah perlindungan dari Allah seperti membaca kalimah taawuz.
Jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, dan jika sedang duduk, maka hendaklah berbaring.
Fikirkan tentang kemurkaan Tuhan dan hukuman dari-Nya. Siapakah yang lebih besar kemarahannya, manusia atau Tuhan. Apa akan berlaku sekiranya Tuhan menunjukkan kemurkaan-Nya?
Maafkan orang yang menyebabkan kemarahan itu. Setiap orang melakukan kesilapan termasuk diri kita. Jika kita mengharapkan keampunan Tuhan, maka wajarlah kita bersedia untuk memaafkan orang lain. Sifat saling maaf-memaafkan akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat.
Berwuduklah. Sebaik-baiknya lakukan solat sunat.
Ingatlah bahawa kehidupan ini hanya sementara saja. Setiap orang akan mati dan akan diadili di padang mahsyar kelak. Oleh yang demikian, perkara terbaik yang wajar dilakukan apabila ada orang yang menyebabkan kemarahan, ialah membalas kemarahan itu dengan kebaikan dan kasih sayang. Apabila perkara ini mampu dilakukan, barulah dunia akan menjadi tempat yang indah untuk didiami, aman dan sentosa.